Skip to content
Opens in a new window

[1] Inilah perkhabaran TUHAN kepada Yoel anak Petuel.

[2] Dengarkanlah, hai orang tua; dengarkanlah, hai semua orang di Yehuda. Pernahkah perkara seperti ini berlaku pada zaman kamu, atau pada zaman nenek moyang kamu?

[3] Ceritakanlah kejadian ini kepada anak-anak kamu, agar mereka menceritakannya kepada anak-anak mereka, dan anak-anak mereka pula menceritakannya kepada generasi selanjutnya.

[4] Kawanan belalang yang tidak terhitung jumlahnya hinggap di ladang-ladang dan melahap hasilnya. Apa yang ditinggalkan kawanan ini, dihabiskan oleh kawanan yang lain lagi.

[5] Hai pemabuk, bangunlah! Hai peminum wain, menangislah! Wain yang baru sudah dirampas dari mulut kamu.

[6] Suatu bangsa telah menyerang negeri kita; bangsa yang kuat dan tidak terhitung bilangannya; gigi mereka itu tajam seperti gigi singa.

[7] Pokok anggur kita telah dimusnahkan, dan pokok ara kita dirosakkan. Kulit batang pokok telah dikupas, sehingga cabang-cabang menjadi putih.

[8] Hai semua orang, menangislah, seperti gadis yang meratapi kematian tunangannya.

[9] Tiada lagi gandum dan wain untuk dipersembahkan di Rumah TUHAN; para imam menangis kerana tidak mempunyai persembahan untuk TUHAN.

[10] Ladang-ladang kosong; tanah berkabung kerana gandum sudah musnah, buah anggur sudah kering, dan pokok zaitun sudah layu.

[11] Hai petani, berdukacitalah; hai pekebun anggur, menangislah, kerana gandum, barli, dan semua tanaman sudah musnah.

[12] Pokok buah-buahan di ladang sudah layu semuanya; pokok anggur, pokok epal, pokok ara, pokok kurma, dan pokok delima, maka rakyat tidak lagi gembira.

[13] Hai imam-imam yang bertugas di mazbah, pakailah kain guni dan menangislah. Masuklah ke dalam Rumah TUHAN dan merataplah semalam suntuk. Tiada lagi gandum dan wain untuk dipersembahkan kepada Allah kamu.

[14] Berikanlah perintah untuk berpuasa; adakan satu perhimpunan. Suruhlah para pemimpin dan semua penduduk Yehuda datang ke Rumah TUHAN, Allah kamu dan berseru mohon pertolongan-Nya.

[15] Hari TUHAN sudah dekat, ketika Yang Maha Kuasa, mendatangkan kehancuran. Alangkah ngerinya hari itu!

[16] Tanaman dimusnahkan di depan mata kita. Tiada lagi sorak gembira di dalam Rumah Allah kita.

[17] Benih mati di tanah yang gersang. Tiada lagi gandum untuk disimpan; jelapang kosong menjadi reruntuhan.

[18] Binatang ternakan melenguh dan gelisah, kerana tiada lagi padang rumput bagi semuanya; kawanan domba pun menderita.

[19] Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN, kerana padang rumput dan pokok sudah kering dan mati, seolah-olah dibakar api.

[20] Bahkan binatang liar pun berseru kepada-Mu, kerana sungai-sungai sudah kering, dan padang rumput di gurun sudah dibakar api.

Yoel — Chapters