Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:11

[1] Dua hari kemudian, ada majlis perkahwinan di kota Kana di negeri Galilea. Ibu Yesus di sana.

[2] Yesus dan pengikut-pengikut-Nya juga dijemput ke majlis tersebut.

[3] Apabila wain sudah habis, ibu Yesus berkata kepada Yesus, “Mereka kehabisan wain.”

[4] Yesus menjawab, “Puan, janganlah suruh Aku. Saat-Ku belum tiba.”

[5] Kemudian ibu Yesus berkata kepada pelayan-pelayan di situ, “Lakukan apa sahaja yang dikatakan-Nya kepada kamu.”

[6] Orang Yahudi mempunyai adat pembasuhan. Di situ ada enam buah tempayan untuk keperluan itu dan setiap tempayan isinya kira-kira seratus liter air.

[7] Yesus berkata kepada pelayan-pelayan itu, “Isilah tempayan-tempayan ini dengan air.” Mereka mengisi semua tempayan itu sehingga penuh.

[8] Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Sekarang ambillah sedikit air itu dan hidangkannya kepada ketua majlis.” Mereka membawa air itu kepada ketua majlis.

[9] Ketua majlis itu mengecap air yang sudah berubah menjadi wain. Dia tidak tahu dari mana datangnya wain itu. (Hanya pelayan-pelayan yang menuang air itu yang mengetahuinya.) Oleh itu ketua majlis memanggil pengantin lelaki,

[10] lalu berkata kepadanya, “Biasanya orang menghidangkan wain terbaik terlebih dahulu, lalu apabila para tetamu sudah puas minum barulah wain biasa dihidangkan. Tetapi kamu menyimpan wain terbaik sehingga sekarang!”

[11] Itulah mukjizat pertama yang dilakukan oleh Yesus di Kana di negeri Galilea. Dia menyatakan kemuliaan-Nya dan pengikut-pengikut-Nya percaya kepada-Nya.

[12] Selepas itu Yesus, ibu-Nya, saudara-saudara-Nya, dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke Kapernaum. Mereka tinggal di sana selama beberapa hari.

[13] Apabila sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi, Yesus pergi ke Yerusalem.

[14] Di dalam Rumah Tuhan, Dia menjumpai orang menjual lembu, domba, dan burung merpati; penukar wang pun berniaga di situ.

[15] Yesus membuat cemeti daripada tali, lalu mengusir semua orang dan binatang itu keluar dari Rumah Tuhan, baik domba mahupun lembu. Dia menunggangbalikkan meja penukar wang sehingga wang mereka berhamburan.

[16] Dia berkata kepada penjual burung merpati, “Angkat semuanya dari sini. Jangan jadikan rumah Bapa-Ku tempat berniaga!”

[17] Pengikut-pengikut-Nya lalu teringat akan ayat Alkitab yang mengatakan, “Kasih-Ku terhadap rumah-Mu, ya Allah, berkobar-kobar seperti api!”

[18] Para penguasa Yahudi bertanya kepada Yesus, “Mukjizat apakah yang dapat kamu lakukan untuk membuktikan bahawa kamu berhak bertindak seperti ini?”

[19] Yesus menjawab, “Runtuhkanlah Rumah Tuhan ini, lalu dalam tiga hari Aku akan membinanya lagi.”

[20] “Engkau mahu membinanya lagi dalam tiga hari?” tanya mereka. “Empat puluh enam tahun sudah diperlukan untuk membina Rumah Tuhan ini!”

[21] Sebenarnya Rumah Tuhan yang dimaksudkan oleh Yesus itu tubuh-Nya sendiri.

[22] Oleh itu ketika Yesus dibangkitkan daripada kematian, pengikut-pengikut-Nya teringat bahawa Dia pernah mengatakan demikian. Lalu percayalah mereka kepada apa yang tertulis di dalam Alkitab dan kepada apa yang dikatakan oleh Yesus.

[23] Sementara Yesus di Yerusalem pada masa Perayaan Paska, banyak orang percaya kepada-Nya kerana mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya.

[24] Tetapi Yesus tidak mempercayakan diri-Nya kepada mereka, kerana Dia mengetahui hati manusia.

[25] Tidak perlu orang memberitahu Dia tentang sesiapa pun, kerana Dia mengetahui isi hati manusia.

Yohanes — Chapters