[1] Oleh itu, marilah kita menuju kepada kedewasaan kehidupan Kristian, dan jangan hanya perhatikan ajaran asas tentang Kristus. Janganlah kita ulangi ajaran asas tentang hal berhenti melakukan yang sia-sia dan tentang kepercayaan kepada Allah,
[2] atau ajaran asas tentang baptisan dan tentang hal meletakkan tangan pada orang, atau tentang kebangkitan orang mati dan hukuman yang kekal.
[3] Marilah kita menjadi orang Kristian yang dewasa! Jika diizinkan Allah, hal inilah yang akan kita lakukan!
[4] Hal itu demikian, kerana orang yang tidak mahu percaya kepada Kristus lagi, tidak dapat dipimpin kembali supaya bertaubat. Mereka pernah berada dalam terang Allah; mereka pernah menikmati pemberian Allah, dan menerima Roh Allah yang menjadi bahagian mereka.
[5] Melalui pengalaman, mereka tahu bahawa firman Allah baik, dan mereka telah merasai kuasa daripada kurnia Allah pada zaman yang akan datang.
[6] Tetapi sesudah itu mereka tidak mahu percaya kepada Kristus lagi! Tidak mungkin mereka dipimpin kembali supaya bertaubat, kerana mereka menyalibkan Anak Allah lagi dan mempermalukan Dia di hadapan umum.
[7] Allah memberkati tanah yang menghisap air hujan yang sering turun ke atasnya, lalu tanah itu menghasilkan tanam-tanaman yang berguna bagi orang yang menanamnya.
[8] Tetapi jika tanah itu mengeluarkan duri dan lalang, maka tanah itu tidak berguna. Tanah itu akan dikutuk oleh Allah dan dimusnahkan oleh api.
[9] Tetapi, saudara-saudara yang tercinta, meskipun kami berkata demikian, kami yakin akan kamu. Kami tahu bahawa kamu mempunyai berkat-berkat yang lebih baik, yang termasuk dalam penyelamatan kamu.
[10] Allah bukannya tidak adil. Dia tidak melupakan apa yang sudah kamu lakukan bagi-Nya, ataupun kasih yang kamu tunjukkan kepada-Nya dengan menolong sesama saudara Kristian, baik dahulu mahupun sekarang.
[11] Kami ingin sekali supaya setiap orang di kalangan kamu terus bergiat sehingga akhir, supaya segala perkara yang kamu harap-harapkan itu boleh kamu terima.
[12] Kami tidak mahu kamu menjadi malas. Hiduplah seperti mereka yang menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah, kerana percaya kepada-Nya dan bersabar.
[13] Ketika Allah berjanji kepada Abraham, Dia bersumpah bahawa Dia akan melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya. Kerana tidak ada sesiapa pun yang lebih tinggi daripada Allah, Dia bersumpah demi nama-Nya sendiri.
[14] Allah berfirman, “Aku berjanji akan memberkati engkau dan memberikan keturunan yang banyak kepadamu.”
[15] Abraham bersabar. Oleh itu dia menerima apa yang dijanjikan oleh Allah.
[16] Ketika seseorang bersumpah, dia menggunakan nama orang lain yang lebih tinggi kedudukannya daripada dia. Lalu sumpah itu menyelesaikan segala perselisihan.
[17] Allah hendak meyakinkan orang yang akan menerima apa yang dijanjikan-Nya, bahawa Dia tidak sekali-kali akan mengubah maksud-Nya. Itulah sebabnya Dia menambah sumpah pada janji-Nya itu.
[18] Dua perkara itu tidak dapat berubah, iaitu janji-Nya dan sumpah-Nya. Allah tidak dapat berdusta tentangnya. Oleh itu, kita yang sudah pergi kepada-Nya untuk mendapat perlindungan, sangat digalakkan supaya berpegang teguh kepada harapan yang ada di hadapan kita.
[19] Harapan kita itu seperti sauh yang menjadi pegangan hidup yang kuat dan aman. Harapan itu menembusi tirai Bilik Maha Suci di Rumah Tuhan di syurga.
[20] Yesus telah masuk ke situ lebih dahulu daripada kita, dan Dia menjadi Imam Agung yang kekal seperti Imam Melkisedek.