[1] Kemudian Musa, bersama dengan para pemimpin bangsa Israel, berkata kepada umat itu, “Patuhilah segala perintah yang aku berikan kepada kamu hari ini.
[2] Pada hari kamu menyeberangi Sungai Yordan dan tiba di tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, kamu harus mendirikan beberapa buah batu besar dan melepakan batu-batu itu.
[3] Tuliskanlah semua hukum ini pada batu-batu itu. Apabila kamu tiba di tanah yang kaya dan subur yang dijanjikan TUHAN, Allah nenek moyang kamu kepada kamu,
[4] dan kamu berada di seberang Sungai Yordan, dirikanlah batu-batu itu di atas Gunung Ebal seperti yang aku perintahkan sekarang ini, dan lepakanlah batu-batu itu.
[5] Buatlah sebuah mazbah daripada batu-batu yang belum pernah dipahat dengan besi,
[6] kerana mazbah yang kamu buat untuk TUHAN, Allah kamu mesti dibuat daripada batu-batu yang tidak dipahat. Kamu harus mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan bakarlah semuanya di atas mazbah itu.
[7] Persembahkanlah juga korban untuk memohon berkat TUHAN, dan makanlah korban itu di situ, serta bersukacita di hadapan TUHAN, Allah kamu.
[8] Pada batu-batu yang dilepa itu, tulislah dengan jelas setiap perkataan daripada hukum Allah itu.”
[9] Selepas itu Musa, bersama dengan imam-imam Lewi, berkata kepada semua orang Israel, “Dengarlah, hai umat Israel, dan berikanlah perhatian. Pada hari ini kamu telah menjadi umat TUHAN, Allah kamu.
[10] Oleh itu taatilah TUHAN, Allah kamu dan lakukanlah segala perintah-Nya yang aku berikan kepada kamu hari ini.”
[11] Kemudian Musa berkata kepada umat Israel,
[12] “Selepas kamu menyeberangi Sungai Yordan, suku Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, Yusuf, dan Benyamin harus berdiri di atas Gunung Gerizim, apabila berkat diucapkan untuk umat Israel.
[13] Apabila kutuk diucapkan, suku Ruben, Gad, Asyer, Dan, Zebulon, dan Naftali harus berdiri di atas Gunung Ebal.
[14] Orang Lewi harus mengucapkan kata-kata berikut dengan suara kuat:
[15] ‘Terkutuklah orang yang membuat berhala daripada batu, kayu, atau logam, lalu menyembahnya dengan sembunyi-sembunyi. TUHAN membenci penyembahan berhala.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’
[16] ‘Terkutuklah orang yang menghina ibu atau bapa mereka.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’
[17] ‘Terkutuklah orang yang memindahkan penanda sempadan tanah jiran mereka.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’
[18] ‘Terkutuklah orang yang menyesatkan orang buta.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’
[19] ‘Terkutuklah orang yang merampas hak orang asing, anak yatim piatu, dan balu.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’
[20] ‘Terkutuklah orang yang mempermalukan bapa mereka kerana menyetubuhi salah seorang isteri bapa mereka.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’
[21] ‘Terkutuklah orang yang melakukan hubungan jenis dengan binatang.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’
[22] ‘Terkutuklah orang yang bersetubuh dengan saudara perempuan sekandung, ataupun dengan saudara perempuan tiri.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’
[23] ‘Terkutuklah orang yang bersetubuh dengan ibu mentua mereka.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’
[24] ‘Terkutuklah orang yang melakukan pembunuhan dengan sembunyi-sembunyi.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’
[25] ‘Terkutuklah orang yang menerima upah untuk membunuh orang yang tidak bersalah.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’
[26] ‘Terkutuklah orang yang tidak mentaati hukum dan ajaran Allah.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’ ”