Skip to content
Opens in a new window

[1] TUHAN berfirman, “Penduduk Moab sudah berkali-kali berdosa, kerana itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka menghina raja Edom yang sudah mangkat dengan membakar tulangnya sehingga menjadi abu.

[2] Oleh itu, Aku akan mengirim api ke negeri Moab dan membakar kubu-kubu Keriot. Penduduk Moab akan mati di tengah-tengah keriuhan perang, sementara trompet dibunyikan dan pekik pertempuran diteriakkan oleh askar.

[3] Aku akan membunuh penguasa Moab dan semua pegawai kerajaan di sana.”

[4] TUHAN berfirman, “Penduduk Yehuda sudah berkali-kali berdosa, kerana itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka melanggar perintah-Ku dan tidak mempedulikan ajaran-Ku. Mereka disesatkan oleh tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang mereka.

[5] Oleh itu, Aku akan mengirim api ke negeri Yehuda dan membakar kubu-kubu Yerusalem.”

[6] TUHAN berfirman, “Umat Israel sudah berkali-kali berdosa, kerana itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka menjual orang jujur sebagai abdi; orang jujur yang tidak dapat membayar hutang mereka. Demikian juga yang dilakukan mereka terhadap orang miskin yang tidak dapat membayar hutang, walaupun hutang itu hanya seharga sepasang selipar.

[7] Mereka menginjak-injak orang lemah yang tidak berdaya dan menyingkirkan orang miskin. Bapa dan anak lelakinya meniduri abdi perempuan yang sama, sehingga mencemarkan nama-Ku yang suci.

[8] Di setiap tempat ibadat, orang tidur dengan pakaian yang diambil daripada orang miskin sebagai jaminan hutang. Di Rumah Allah mereka, mereka minum wain yang diambil daripada orang yang berhutang kepada mereka.

[9] Walaupun begitu, hai umat-Ku, bagi kamulah Aku membinasakan orang Amori yang setinggi pokok sedar dan sekuat pokok oak.

[10] Aku sudah membawa kamu keluar dari Mesir dan memimpin kamu melalui padang gurun selama 40 tahun. Aku sudah memberikan negeri orang Amori kepada kamu supaya menjadi negeri kamu sendiri.

[11] Aku sudah memilih beberapa orang daripada anak lelaki kamu untuk menjadi nabi, dan beberapa orang muda kamu untuk menjadi orang Nazir. Bukankah demikian, hai umat Israel? Aku, TUHAN, sudah berfirman.

[12] Tetapi kamu menyuruh orang Nazir minum wain, sehingga mereka mengingkari janji. Kamu juga melarang nabi-nabi menyampaikan perkhabaran-Ku.

[13] Sekarang Aku akan menekan kamu sampai ke tanah, seperti kereta lembu yang sarat dengan muatan gandum.

[14] Pelari yang pantas pun tidak akan dapat melarikan diri; orang kuat akan hilang kekuatan, dan pahlawan tidak dapat menyelamatkan diri.

[15] Pemanah tidak akan dapat bertahan, pelari pantas tidak akan dapat melarikan diri, dan penunggang kuda tidak akan dapat menyelamatkan diri.

[16] Pada hari itu askar yang paling berani pun akan meninggalkan senjata, lalu lari.” Demikianlah firman TUHAN.

Amos — Chapters