Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:48

[1] Akhirnya, saudara-saudaraku, berdoalah untuk kami, supaya perkhabaran Tuhan boleh terus tersebar dengan cepat dan diterima dengan baik, sebagaimana halnya antara kamu dahulu.

[2] Berdoalah juga supaya Allah menyelamatkan kami daripada orang yang kejam dan jahat, kerana tidak semua orang percaya kepada perkhabaran itu.

[3] Tetapi Tuhan kita setia. Dia akan menguatkan kamu dan menyelamatkan kamu daripada Si Jahat.

[4] Tuhanlah yang menyebabkan kami mempercayai kamu, dan kami yakin bahawa kamu sedang melakukan dan akan terus melakukan apa yang kami beritahu kamu.

[5] Semoga Tuhan memimpin kamu untuk lebih memahami kasih Allah dan ketabahan yang diberikan oleh Kristus.

[6] Saudara-saudaraku, demi nama Tuhan Yesus Kristus, kami memerintah kamu supaya menjauhkan diri daripada semua saudara yang hidup bermalas-malas, dan yang tidak mengikut ajaran yang kami berikan.

[7] Kamu sendiri tahu bahawa kamu harus melakukan apa yang telah kami lakukan. Semasa kami bersama-sama kamu, kami tidak bermalas-malas.

[8] Kami membayar semua makanan yang kami makan. Kami bekerja dengan tidak mengenal lelah, supaya kami tidak menjadi beban kepada sesiapa pun di kalangan kamu.

[9] Kami berbuat demikian bukan kerana kami tidak berhak menuntut pertolongan kamu, tetapi supaya kami menjadi teladan kepada kamu.

[10] Semasa kami bersama-sama kamu, kami memberikan peraturan berikut, “Orang yang tidak mahu bekerja, tidak boleh makan.”

[11] Kami berkata demikian kerana kami mendengar bahawa ada beberapa orang di kalangan kamu yang bermalas-malas. Mereka tidak melakukan sesuatu pun kecuali mencampuri urusan orang lain.

[12] Demi nama Tuhan Yesus Kristus kami memerintah dan memperingatkan orang seperti itu, bahawa mereka mesti hidup dengan sepatutnya dan mencari nafkah sendiri.

[13] Tetapi kamu, saudara-saudara seiman, janganlah jemu berbuat baik.

[14] Mungkin ada orang yang tidak mahu mengikut apa yang kami katakan di dalam surat ini. Jika demikian, perhatikanlah mereka dan jangan bergaul dengan mereka agar mereka malu.

[15] Tetapi janganlah anggap mereka sebagai musuh. Sebaliknya, nasihatilah mereka sebagai saudara.

[16] Semoga Tuhan, sumber kesejahteraan kita, sentiasa mengurniai kamu kesejahteraan dalam segala hal. Tuhan menyertai kamu semua.

[17] Dengan tanganku sendiri aku menulis kata-kata ini: Salam daripada Paulus. Demikianlah caraku menandatangani semua suratku dan beginilah aku menulisnya.

[18] Semoga Tuhan kita Yesus Kristus memberkati kamu semua.

2 Tesalonika — Chapters