[1] Selepas TUHAN menyelamatkan Daud daripada Raja Saul dan musuh-musuhnya yang lain, Daud menyanyikan lagu ini bagi TUHAN:
[2] TUHAN ialah pelindungku; Dia bagaikan kubu yang kuat bagiku.
[3] Allahku tempat perlindunganku, aku selamat bersama dengan Dia. Dia melindungi aku seperti perisai; Dia membela dan menjaga aku supaya aku selamat. Dialah penyelamatku; Dia melindungi aku dan menyelamatkan aku daripada keganasan.
[4] Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, dan Dia menyelamatkan aku daripada musuhku.
[5] Ombak maut mengelilingi aku, banjir kebinasaan menggenangi aku.
[6] Bahaya maut mengelilingi aku, dan kubur memasang perangkap untukku.
[7] Dalam kesusahan aku berseru kepada TUHAN; Aku berseru kepada Allahku minta pertolongan. Di dalam Rumah-Nya Dia mendengar suaraku; Dia memperhatikan seruanku.
[8] Kemudian bumi bergegar dan bergoncang; dasar langit bergetar dan bergoyang, kerana Allah murka!
[9] Asap berhembus dari hidung-Nya, api dan bara keluar dari mulut-Nya.
[10] Dia membelah langit lalu turun dengan awan gelap di bawah kaki-Nya.
[11] Dia terbang laju dengan mengendarai kerub; Dia melayang di atas sayap angin.
[12] Dia menyelubungi diri-Nya dengan kegelapan; awan mendung yang tebal mengelilingi Dia;
[13] Bara api menyala-nyala dari kilat yang di hadapan-Nya.
[14] Kemudian TUHAN mengguntur dari angkasa, dan Yang Maha Tinggi memperdengar suara-Nya.
[15] Dia melepaskan anak panah-Nya, dan mencerai-beraikan musuh-Nya. Dia memancarkan kilat sehingga menyebabkan mereka lari.
[16] Dasar lautan tersingkap, dan asas bumi terdedah, ketika TUHAN menegur musuh-Nya, dan bertempik dengan murka terhadap mereka.
[17] Dari atas TUHAN menghulurkan tangan-Nya, Dia memegang aku, lalu menarik aku keluar dari air yang dalam.
[18] Dia menyelamatkan aku daripada musuhku yang kuat, dan daripada mereka yang membenci aku, kerana mereka terlalu kuat bagiku.
[19] Ketika aku dalam kesusahan, mereka menyerang aku, tetapi TUHAN melindungi aku.
[20] Dia melepaskan aku daripada bahaya; Dia menyelamatkan aku kerana Dia berkenan kepadaku.
[21] TUHAN mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar; Dia memberkati aku kerana aku tidak bersalah.
[22] Aku mematuhi Taurat TUHAN; aku tidak meninggalkan Allahku.
[23] Aku telah mentaati segala hukum-Nya; aku tidak pernah mengingkari perintah-Nya.
[24] Dia tahu bahawa aku tidak bercela, dan aku menjauhkan diri daripada kesalahan.
[25] Oleh itu Dia mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar, kerana Dia tahu bahawa aku tidak bersalah.
[26] Ya TUHAN, Engkau setia kepada orang yang setia kepada-Mu, dan Engkau sangat baik kepada orang yang baik.
[27] Engkau menyatakan diri-Mu suci kepada orang yang suci, tetapi Engkau memusuhi orang yang jahat.
[28] Engkau menyelamatkan orang yang rendah hati, tetapi Engkau merendahkan orang yang sombong.
[29] Ya TUHAN, Engkaulah cahayaku; Engkau menerangi kegelapanku.
[30] Engkau memberi aku kekuatan untuk menyerang musuhku, dan kuasa untuk menembusi pertahanan mereka.
[31] Betapa sempurnanya perbuatan Allah ini, firman TUHAN dapat dipercayai. Dia umpama perisai bagi semua orang yang berlindung pada-Nya.
[32] TUHAN satu-satunya Allah; hanya Allah pembela kita.
[33] Dialah Allah yang melindungi aku; Dia menjadikan jalanku aman.
[34] Dia menguatkan kakiku seperti kaki rusa; Dia menjaga keselamatanku di pergunungan.
[35] Dia melatih aku untuk berperang, supaya aku dapat melengkungkan busur yang terkuat.
[36] Ya TUHAN, Engkau melindungi dan menyelamatkan aku; pertolongan-Mu telah menjadikan aku agung.
[37] Engkau menjaga aku supaya aku tidak ditawan, dan aku tidak pernah jatuh.
[38] Aku mengejar musuhku dan mengalahkan mereka; aku tidak berhenti sebelum aku membinasakan mereka.
[39] Aku memukul mereka sehingga mereka tidak dapat bangun; mereka rebah kerana kalah di hadapanku.
[40] Engkau memberi aku tenaga untuk bertempur, dan kemenangan atas musuhku.
[41] Engkau menyebabkan musuh lari daripadaku; aku membinasakan orang yang membenci aku.
[42] Mereka mencari pertolongan, tetapi tiada sesiapa pun menyelamatkan mereka; mereka berseru kepada TUHAN, tetapi Dia tidak menjawab.
[43] Aku menghancurkan mereka, sehingga mereka menjadi seperti debu; Aku memijak-mijak mereka seperti lumpur di jalan.
[44] Engkau menyelamatkan aku daripada umat yang memberontak, dan menjadikan aku pemerintah bangsa-bangsa; bangsa yang tidak aku kenal kini menjadi rakyatku.
[45] Bangsa asing tunduk kepadaku, dan taat apabila mereka mendengar perintahku.
[46] Mereka hilang keberanian; mereka gementar dan keluar dari kubu pertahanan.
[47] TUHAN hidup! Pujilah pembelaku! Isytiharkanlah keagungan Allah Penyelamatku!
[48] Dia memberi aku kemenangan atas musuhku; Dia menaklukkan bangsa-bangsa di hadapanku,
[49] dan menyelamatkan aku daripada lawanku. Ya TUHAN, Engkau memberi aku kemenangan atas musuhku, dan melindungi aku daripada orang ganas.
[50] Oleh itu aku memuji Engkau di kalangan bangsa-bangsa; aku menyanyikan lagu pujian untuk-Mu.
[51] Allah memberikan kemenangan besar kepada raja pilihan-Nya; Dia tetap mengasihi orang yang dilantik-Nya, iaitu Daud dan keturunannya, untuk selama-lamanya.