Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:32

[1] Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Inilah suratku yang kedua kepada kamu. Di dalam kedua-dua pucuk surat ini, aku berusaha untuk membangkitkan fikiran yang murni dengan mengingatkan kamu tentang perkara-perkara ini.

[2] Aku mahu kamu ingat akan kata-kata yang diucapkan oleh nabi-nabi Allah pada zaman dahulu, dan ingat akan perintah daripada Tuhan dan Penyelamat yang disampaikan oleh rasul-rasul kepada kamu.

[3] Mula-mula kamu harus mengerti bahawa pada akhir zaman akan muncul beberapa orang yang kehidupan mereka dikuasai oleh hawa nafsu. Mereka akan memperolok-olokkan kamu

[4] dengan berkata, “Bukankah Tuhan berjanji akan datang? Di manakah Dia? Ibu bapa kita sudah meninggal, tetapi segala-galanya masih sama sahaja seperti sejak kejadian alam!”

[5] Mereka sengaja tidak mahu mengakui bahawa dahulu Allah menciptakan langit dan bumi dengan firman-Nya. Bumi dijadikan daripada air dan dengan air.

[6] Dengan air juga, iaitu air bah, dunia zaman dahulu itu dibinasakan.

[7] Tetapi langit dan bumi sekarang ini, dipelihara oleh firman Allah itu juga, untuk dimusnahkan dengan api kelak. Langit dan bumi masih dipelihara sehingga hari orang derhaka dihukum dan dibinasakan.

[8] Tetapi janganlah lupa akan satu perkara ini, hai sahabat-sahabat yang aku kasihi! Di sisi Tuhan, satu hari tidak ada bezanya dengan seribu tahun. Bagi-Nya, kedua-duanya sama sahaja.

[9] Tuhan tidak berlambat untuk melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya, meskipun beberapa orang berfikir demikian. Sebaliknya, Dia sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin sesiapa pun binasa. Dia mahu semua orang bertaubat daripada dosa.

[10] Tetapi Hari kedatangan Tuhan akan tiba seperti pencuri. Pada Hari itu, langit akan lenyap dengan bunyi gemuruh, benda-benda di langit akan terbakar dan musnah, dan bumi dengan segala yang ada di dalamnya akan lenyap.

[11] Semua itu akan dibinasakan dengan cara yang demikian. Oleh itu, bagaimanakah seharusnya kamu hidup? Kamu harus sentiasa hidup suci dan khas untuk Allah,

[12] sementara kamu menantikan Hari apabila Allah mengadili dunia. Hendaklah kamu berusaha sebaik-baiknya untuk mempercepat kedatangan Hari itu. Pada Hari itu langit akan terbakar dan musnah, dan benda-benda di langit akan lebur kerana bahangnya.

[13] Tetapi kita menantikan apa yang sudah dijanjikan oleh Allah, iaitu langit baru dan bumi baru. Di situ terdapat keadilan.

[14] Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, sementara kamu menantikan Hari itu, berusahalah sebaik-baiknya supaya kamu hidup suci dan tidak bercela di sisi Allah.

[15] Anggaplah kesabaran Tuhan kita sebagai peluang yang diberikan-Nya kepada kamu supaya diselamatkan. Paulus, saudara yang kita kasihi, juga menulis demikian kepada kamu dengan menggunakan kebijaksanaan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya.

[16] Dalam semua suratnya, Paulus selalu menulis tentang perkara-perkara itu. Memang ada beberapa hal dalam suratnya yang sukar difahami. Lalu orang yang tidak tahu apa-apa dan yang lemah iman, telah menyalahtafsirkan hal-hal itu. Mereka juga menyalahtafsirkan bahagian-bahagian lain daripada Alkitab. Perbuatan itu mengakibatkan kebinasaan diri mereka sendiri.

[17] Tetapi kamu, saudara-saudara yang aku kasihi, telah mengetahui hal ini. Oleh itu, berwaspadalah supaya kamu tidak disesatkan oleh kesilapan orang jahat, lalu jatuh dari tempat berpijak yang kukuh.

[18] Hendaklah kamu semakin menghayati kasih Yesus Kristus, Tuhan dan Penyelamat kita, dan hendaklah kamu juga semakin mengenal Dia. Marilah kita memuji dan memuliakan Kristus, sekarang dan selama-lamanya! Amin.

2 Petrus — Chapters