Skip to content
Opens in a new window

[1] Selepas 480 tahun umat Israel meninggalkan Mesir, pada tahun keempat pemerintahan Raja Salomo, pada bulan Ziv, iaitu bulan kedua, Raja Salomo mula membina Rumah TUHAN.

[2] Ukuran bahagian dalam Rumah TUHAN adalah seperti berikut: panjangnya 27 meter, lebarnya 9 meter, dan tingginya 13.5 meter.

[3] Bilik di sebelah depan panjangnya 4.5 meter, dan lebarnya 9 meter, selebar Rumah itu juga.

[4] Tembok Rumah TUHAN mempunyai beberapa buah tingkap, yang ukuran sebelah luarnya lebih kecil daripada ukuran sebelah dalam.

[5] Pada tembok di sebelah luar, iaitu di sebelah kiri, kanan, dan belakang Rumah TUHAN, bilik-bilik yang bertingkat tiga dibina. Setiap tingkat tingginya 2.2 meter.

[6] Setiap bilik di tingkat bawah, lebarnya 2.2 meter. Setiap bilik di tingkat tengah, lebarnya 2.7 meter. Setiap bilik di tingkat atas, lebarnya 3.1 meter. Tembok Rumah TUHAN di tiap-tiap tingkat lebih tipis daripada tingkat di bawahnya, supaya kasau bilik-bilik tambahan itu dapat dihubungkan dengan tembok Rumah TUHAN tanpa melubangi tembok itu.

[7] Batu-batu yang dipakai untuk membina Rumah TUHAN disediakan di kuari, sehingga tidak terdengar bunyi penukul, kapak, atau perkakas besi yang lain pada masa Rumah TUHAN dibina.

[8] Pintu bagi tingkat pertama bilik tambahan itu dibuat di sebelah selatan Rumah TUHAN, dan tingkat-tingkat itu dihubungkan dengan tangga.

[9] Demikianlah Raja Salomo menyelesaikan pembinaan Rumah TUHAN. Dia menggunakan kasau-kasau dan papan daripada kayu sedar untuk siling Rumah TUHAN.

[10] Bilik tambahan yang bertingkat tiga itu, yang tingginya 2.2 meter bagi setiap tingkat, dibina di sebelah luar tembok Rumah TUHAN dan dihubungkan dengan kasau-kasau daripada kayu sedar.

[11] TUHAN berfirman kepada Raja Salomo,

[12] “Jika engkau taat kepada semua hukum dan perintah-Ku, maka bagimu Aku akan lakukan apa yang telah Kujanjikan kepada Daud, bapamu.

[13] Aku akan tinggal bersama dengan umat-Ku Israel di Rumah yang engkau bina ini, dan Aku tidak sekali-kali akan meninggalkan mereka.”

[14] Demikianlah Raja Salomo menyelesaikan pembinaan Rumah TUHAN.

[15] Tembok di sebelah dalam Rumah TUHAN dilapisi kayu sedar dari lantai sampai ke siling. Lantainya dibuat daripada kayu sipres.

[16] Sebuah bilik yang dinamakan Bilik Maha Suci dibina di bahagian belakang Rumah TUHAN. Panjangnya 9 meter, dan disekat dari lantai sampai siling dengan papan daripada kayu sedar.

[17] Bilik di hadapan Bilik Maha Suci itu panjangnya 18 meter.

[18] Tembok bahagian dalam seluruh Rumah TUHAN dilapisi kayu sedar, sehingga batu-batu temboknya tidak kelihatan sama sekali. Lapisan itu dihiasi ukiran buah labu dan bunga mekar.

[19] Di bahagian belakang Rumah TUHAN, sebuah bilik dibina untuk menyimpan Tabut Perjanjian TUHAN.

[20] Bilik itu panjangnya 9 meter, lebarnya 9 meter, dan tingginya 9 meter; seluruhnya dilapisi emas tulen. Mazbah di hadapan bilik itu dilapisi papan daripada kayu sedar.

[21] Bahagian dalam Rumah TUHAN dilapisi emas, dan rantai emas direntangkan pada pintu masuk bilik itu. Pintu ini juga dilapisi emas.

[22] Seluruh bahagian dalam Rumah TUHAN dilapisi emas. Demikian juga mazbah di Bilik Maha Suci.

[23] Dua kerub yang dibuat daripada kayu zaitun diletakkan di Bilik Maha Suci. Setiap kerub tingginya 4.4 meter.

[24] Kedua-duanya sama besar dan serupa. Setiap kerub mempunyai dua sayap, dan setiap sayap panjangnya 2.2 meter. Jarak antara kedua-dua hujung sayap itu 4.4 meter jauhnya.

[27] Kedua-dua kerub itu diletakkan berdampingan di Bilik Maha Suci, supaya kedua-dua hujung sayapnya saling menyentuh di tengah-tengah bilik, dan hujung kedua-dua sayap yang satu lagi menyentuh dinding.

[28] Kedua-dua kerub itu dilapisi emas.

[29] Seluruh dinding bahagian dalam Rumah TUHAN dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar.

[30] Seluruh lantai di dalam Rumah TUHAN dilapisi emas.

[31] Pada pintu masuk Bilik Maha Suci itu dipasang dua daun pintu daripada kayu zaitun. Bahagian atas ambang pintu itu berbentuk lengkungan yang tajam.

[32] Daun-daun pintunya dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar. Daun pintu, kerub, dan pokok palma semuanya dilapisi emas.

[33] Bingkai pintu masuk ke bilik depan berbentuk segiempat bujur dan dibuat daripada kayu zaitun.

[34] Ada dua lagi daun pintu yang dapat dilipat, yang dibuat daripada kayu sipres.

[35] Daun-daun pintu itu dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar. Semuanya dilapisi emas.

[36] Sebuah halaman dibina di depan Rumah TUHAN. Halaman ini dikelilingi tembok yang dibuat berlapis-lapis: satu lapis kayu sedar bagi tiap-tiap tiga lapis batu.

[37] Asas Rumah TUHAN diletakkan pada bulan kedua, iaitu bulan Ziv, pada tahun keempat pemerintahan Raja Salomo.

[38] Pada bulan kelapan, iaitu bulan Bul, pada tahun kesebelas pemerintahan Raja Salomo, pembinaan Rumah TUHAN selesai, tepat seperti yang telah dirancangkan. Pembinaan itu memakan masa tujuh tahun.

1 Raja-Raja — Chapters