Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 5:15

[1] Ketahuilah bahawa Allah Bapa sangat mengasihi kita! Dia amat mengasihi kita, sehingga kita diakui sebagai anak-anak Allah dan memang kita anak-anak Allah. Itulah sebabnya dunia ini tidak mengenal kita, kerana dunia ini tidak mengenal Allah.

[2] Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Kita sekarang anak-anak Allah, tetapi keadaan kita kelak belum jelas. Tetapi kita tahu bahawa apabila Kristus datang, kita akan menjadi seperti Dia, kerana kita akan melihat Dia dalam keadaan-Nya yang sebenarnya.

[3] Setiap orang yang mempunyai harapan ini kepada Kristus, menjaga dirinya supaya suci, sebagaimana Kristus pun suci.

[4] Sesiapa yang berbuat dosa, melanggar hukum Allah, kerana dosa itu pelanggaran terhadap hukum Allah.

[5] Kamu tahu bahawa Kristus datang untuk menghapuskan dosa manusia, dan bahawa pada diri-Nya tidak ada dosa.

[6] Oleh itu, setiap orang yang hidup bersatu dengan Kristus, tidak terus-menerus berbuat dosa. Sesiapa yang terus-menerus berbuat dosa, tidak pernah melihat Kristus ataupun mengenal Dia.

[7] Anak-anakku, janganlah biarkan sesiapa pun menipu kamu. Sesiapa melakukan kehendak Allah, dia anak Allah, seperti Kristus.

[8] Sesiapa terus-menerus berbuat dosa, dia anak Iblis, kerana Iblis berdosa sejak permulaan. Justeru untuk hal inilah Anak Allah datang bagi memusnahkan pekerjaan Iblis.

[9] Sesiapa yang menjadi anak Allah, tidak terus-menerus berbuat dosa kerana sifat Allah sendiri ada padanya. Kerana Allah itu Bapanya, dia tidak dapat terus-menerus berbuat dosa.

[10] Inilah perbezaan antara anak Allah dengan anak Iblis: Sesiapa tidak melakukan kehendak Allah, atau tidak mengasihi saudaranya, dia bukanlah anak Allah.

[11] Inilah perkhabaran yang kamu dengar sejak permulaan: Kita harus saling mengasihi.

[12] Janganlah kita seperti Kain. Dia menjadi anak Iblis dan membunuh adiknya sendiri. Mengapakah Kain membunuh adiknya? Kerana perbuatan yang dilakukannya salah, tetapi perbuatan yang dilakukan adiknya benar.

[13] Oleh itu, saudara-saudaraku, janganlah hairan jika orang di dunia ini membenci kamu.

[14] Kita tahu bahawa kita hidup dan sudah meninggalkan kematian, kerana kita mengasihi saudara-saudara kita. Sesiapa yang tidak mengasihi saudaranya, masih dikuasai kematian.

[15] Sesiapa membenci saudaranya, dia pembunuh. Kamu tahu bahawa seorang pembunuh tidak mempunyai hidup sejati dan kekal.

[16] Dengan jalan ini kita mengetahui cara mengasihi orang lain: Kristus sudah menyerahkan hidup-Nya untuk kita. Oleh itu kita harus menyerahkan hidup kita untuk saudara-saudara kita!

[17] Jika seorang kaya melihat saudaranya yang miskin memerlukan pertolongan, tetapi tidak mahu menolong saudaranya itu, bagaimanakah dia dapat berkata bahawa dia mengasihi Allah?

[18] Anak-anakku! Janganlah kita mengasihi hanya dengan kata-kata belaka. Kita harus saling mengasihi dengan kasih yang sejati, yang dibuktikan dengan perbuatan.

[19] Demikianlah caranya kita tahu bahawa kita tergolong sebagai anak-anak Allah yang benar, dan hati kita tenang di hadapan Allah.

[20] Jika hati nurani kita menyalahkan kita, maka kita tahu bahawa Allah lebih besar daripada hati nurani kita, dan bahawa Dia mengetahui semuanya.

[21] Oleh itu, sahabat-sahabat yang aku kasihi, jika hati nurani kita tidak menyalahkan kita, kita dapat menghadap Allah dengan penuh keberanian.

[22] Kita menerima apa yang kita minta daripada-Nya, kerana kita taat kepada perintah-Nya dan kita melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.

[23] Inilah perintah-Nya: Kita harus percaya kepada Anak-Nya, Yesus Kristus, dan kita harus saling mengasihi, seperti yang diperintahkan Kristus kepada kita.

[24] Sesiapa yang taat kepada perintah Allah, hidup bersatu dengan Allah, dan Allah hidup bersatu dengan dia. Kita tahu bahawa Allah hidup bersatu dengan kita, kerana Dia telah mengurniai kita Roh-Nya.

1 Yohanes — Chapters