Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:27

[1] Kamu harus sampaikan ajaran yang selaras dengan asas kepercayaan yang benar.

[2] Nasihatilah lelaki yang lebih tua supaya hidup sederhana, dihormati orang, mempunyai penguasaan diri, kuat beriman, penuh dengan kasih dan kegigihan.

[3] Seterusnya nasihatilah perempuan yang lebih tua supaya berkelakuan santun: jangan menjadi pengumpat, pemabuk, sebaliknya ajarkanlah kebaikan.

[4] Dengan demikian dapatlah perempuan yang lebih tua membimbing perempuan muda supaya mengasihi suami dan anak-anak,

[5] pandai mengawal diri, suci, menjadi suri rumah yang rajin, baik hati, dan taat kepada suami. Maka tidaklah dapat orang mencela perkhabaran Allah.

[6] Orang lelaki muda pula, nasihatilah mereka supaya mengawal diri.

[7] Jadilah teladan kepada mereka dengan melakukan perbuatan yang baik. Ajarlah mereka dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh

[8] dan gunakan kata-kata bijak yang tidak dapat dicela, supaya musuhmu malu kerana gagal mencari kesalahan kita.

[9] Ajarkan hamba supaya mematuhi perintah dan menyenangkan hati tuannya dalam semua perkara. Hamba tidak harus membantah

[10] atau mencuri, sebaliknya hendaklah sentiasa amanah sehingga dalam segala hal mereka menjadikan ajaran tentang Allah Penyelamat kita itu menarik.

[11] Hal ini demikian kerana kasih kurnia Allah yang menyelamatkan seluruh umat manusia telah nyata.

[12] Kita diajar supaya hidup warak, tidak memburu keinginan duniawi, mengawal diri, ikhlas, dan menghormati Allah pada zaman ini.

[13] Kita sedang menunggu hari yang penuh berkat yang kita harap-harapkan, ketika kemuliaan Allah Maha Besar dan Yesus Kristus Penyelamat kita akan terserlah.

[14] Kristus telah mengorbankan nyawa-Nya untuk membebaskan kita daripada segala kejahatan, menyucikan kita, menjadikan kita milik-Nya serta mendorong kita berbuat baik.

[15] Ajarkanlah segala ini, dan galakkan serta tegur semua yang mendengar kata-katamu dengan penuh wibawa. Jangan biarkan sesiapa memandang rendah kepadamu.

Titus — Chapters