[1] Akulah orang yang merasai penderitaan akibat terkena rotan kemurkaan-Nya;
[2] Dia telah memacu aku dan membawa aku ke dalam kegelapan yang tidak ada cahayanya.
[3] Sungguh, berulang kali aku dipukul-Nya sepanjang hari.
[4] Dia menyusutkan dagingku dan kulitku; Dia mematahkan tulang-tulangku.
[5] Dia membina tembok dan mengepung aku dengan kepahitan dan kesengsaraan.
[6] Dia menempatkan aku dalam kegelapan, seperti orang yang sudah lama mati.
[7] Dia memagari aku sehingga aku tidak dapat keluar, Dia membuat rantai belengguku amat berat.
[8] Bahkan ketika aku berseru dan berteriak minta tolong, Dia tidak mendengar doaku.
[9] Dia menyekat jalanku dengan tembok batu pahat, dan membengkokkan jalanku.
[10] Bagiku Dia bak beruang yang akan menyerang hendap, seperti singa di tempat-tempat persembunyian.
[11] Dia menyimpangkan aku daripada jalanku, mencabik-cabik aku, dan membuat aku pilu dalam kesepian.
[12] Dia melenturkan busur-Nya dan menjadikan aku sasaran anak panah-Nya.
[13] Anak-anak panah daripada tabung panah-Nya menembus ginjalku.
[14] Aku menjadi bahan ketawa seluruh bangsaku, menjadi lagu ejekan mereka sepanjang hari.
[15] Dia mengenyangkan aku dengan kepahitan, dan memuaskan dahagaku dengan pahit getir.
[16] Dia menghancurkan gigiku dengan batu kerikil, dan membuat aku meringkuk di dalam debu.
[17] Jiwaku ketandusan rasa damai, sehingga aku terlupa erti kebahagiaan.
[18] Kataku, "Hilanglah ketahanan aku, dan apa yang kuharapkan daripada Tuhan!"
[19] Ingatlah kesengsaraanku dan pengembaraanku, pahit getir dan racun itu.
[20] Aku terus mengingatinya dan jiwaku tertekan dalam diriku.
[21] Tetapi inilah yang kuperhatikan, lantas kuperoleh harapan:
[22] Kerana kasih setia Tuhan tidak pernah lenyap, belas kasihan-Nya tiada akan pudar.
[23] Semuanya baru setiap pagi. Besarnya kesetiaan-Mu!
[24] " Tuhan ialah Pusakaku," kata jiwaku, "sebab itu aku berharap kepada-Nya."
[25] Tuhan itu baik bagi orang yang menanti-nantikan Dia, bagi jiwa yang mencari hadirat-Nya.
[26] Baik jika seseorang menanti dengan tenang akan penyelamatan daripada Tuhan.
[27] Baik jika seorang lelaki menanggung beban kuknya pada masa mudanya.
[28] Biarlah dia duduk sendirian dan berdiam diri kalau Tuhan membebankan kuk itu ke atasnya.
[29] Biarlah mulutnya membaham debu, mungkin masih lagi ada harapan.
[30] Biarlah dia menyerahkan pipi kepada orang yang menamparnya, dan biarlah dia sarat dengan celaan.
[31] Tuhan tidak mencampakkan sesiapa pun untuk selama-lamanya.
[32] Sekalipun Dia mendatangkan dukacita, belas ihsan-Nya setimpal dengan kelimpahan kasih-Nya yang abadi.
[33] Dia tidak rela menindas atau mendukakan anak manusia.
[34] Kalau semua banduan di bumi dipijak-pijak hingga hancur,
[35] kalau seseorang dinafikan keadilan di hadapan Yang Maha Tinggi,
[36] kalau orang dicurangi dalam hal guamannya – Tuhan tidak berkenan pada semua itu.
[37] Siapakah yang dapat mengatakan sesuatu lalu membuat hal itu terjadi kalau Tuhan tidak menetapkannya?
[38] Bukankah daripada titah Yang Maha Tinggi terbit apa yang buruk dan apa yang baik?
[39] Mengapakah orang hidup harus bersungut-sungut, ketika dia dihukum atas dosa-dosanya?
[40] Marilah kita memeriksa dan meneliti cara hidup kita, lalu kembali kepada Tuhan.
[41] Marilah kita mengangkat hati dan tangan kita kepada Allah di syurga:
[42] Kami melakukan pelanggaran dan menderhaka, dan Engkau tidak mengampuni kami.
[43] Engkau menyelubungi diri-Mu dengan kemurkaan lalu mengejar kami, Kaucabut nyawa kami tanpa rasa belas kasihan.
[44] Engkau menyelubungi diri-Mu dengan awan, sehingga doa kami tidak dapat menembusinya.
[45] Kaujadikan kami hampas dan sampah sarap dalam kalangan bangsa.
[46] Semua musuh kami mengangakan mulut terhadap kami.
[47] Kami didatangi kengerian dan kesulitan yang tidak diduga, juga kerosakan dan kehancuran.
[48] Air mataku mengalir seperti sungai, kerana kehancuran puteri bangsaku.
[49] Air mataku tercurah tanpa henti, tidak putus-putusnya,
[50] sampai Tuhan menilik dan memandang dari syurga.
[51] Mataku menyusahkan hatiku kerana melihat nasib semua anak perempuan kotaku.
[52] Orang yang memusuhi aku tanpa alasan dengan gigih memburu aku seperti burung.
[53] Mereka menghumban aku ke dalam kancah dan melempari aku dengan batu.
[54] Air meluap melampaui kepalaku, aku berkata, "Habislah aku!"
[55] Aku menyeru nama-Mu, ya Tuhan, dari dasar kancah yang terdalam.
[56] Engkau mendengar suaraku! Janganlah kiranya Kaututup pendengaran-Mu terhadap desakanku dan teriakanku meminta pertolongan.
[57] Pada waktu aku berseru kepada-Mu, Engkau datang mendekat. Firman-Mu, "Jangan takut!"
[58] Ya Tuhan, Engkau telah membela perkaraku, Engkau telah menebus hidupku.
[59] Ya Tuhan, Engkau telah melihat kecurangan terhadap aku. Hakimilah hakku!
[60] Segala balas dendam mereka telah Engkau lihat, dan segala rancangan jahat mereka terhadapku.
[61] Engkau telah mendengar ejekan mereka, ya Tuhan, segala rancangan jahat mereka terhadapku,
[62] iaitu perkataan kalangan yang melawan aku dan fikiran mereka terhadap aku sepanjang hari.
[63] Pandanglah! Entah mereka duduk, entah berdiri, aku menjadi lagu ejekan mereka.
[64] Balaslah mereka, ya Tuhan, selaras dengan perbuatan tangan mereka.
[65] Keraskanlah hati mereka, biarlah laknat-Mu menimpa mereka!
[66] Burulah mereka dalam kemurkaan-Mu, dan punahkan mereka daripada kolong langit Tuhan!