[1] Setelah raja menetap di dalam istananya dan Tuhan mengurniakan ketenteraman kepadanya daripada semua musuh di sekelilingnya,
[2] berkatalah raja kepada nabi Natan, "Lihatlah, aku ini tinggal dalam rumah kayu araz walhal tabut Allah tinggal di dalam khemah."
[3] Jawab Natan kepada raja, "Lakukanlah segala sesuatu yang tuanku niatkan, kerana Tuhan menyertai tuanku."
[4] Akan tetapi, pada malam itu juga datanglah firman Tuhan kepada Natan demikian,
[5] "Pergilah dan katakanlah kepada hamba-Ku Daud, 'Beginilah firman Tuhan, "Akankah engkau membina bagi-Ku rumah untuk didiami?
[6] Sebabnya sejak Aku memimpin orang Israel keluar dari Mesir sampai hari ini, Aku tidak pernah tinggal di dalam rumah apa-apa pun, melainkan Aku selalu hadir menyertaimu dalam sebuah khemah sebagai tempat kediaman.
[7] Ke mana-mana jua sahaja Aku mengembara bersama dengan seluruh orang Israel, pernahkah Kukatakan kepada mana-mana hakim yang Kuperintahkan menggembala umat-Ku Israel, 'Mengapakah kamu tidak membina bagi-Ku sebuah bait daripada kayu araz?' "
[8] Maka sekarang, beginilah yang harus kaukatakan kepada hamba-Ku Daud, "Beginilah firman Tuhan alam semesta, 'Aku telah mengambil engkau dari padang ragut, daripada tugas menggiring kawanan domba, untuk menjadi pemimpin atas umat-Ku, iaitu atas Israel.
[9] Aku telah menyertai engkau ke mana-mana pun engkau pergi dan telah melenyapkan semua musuhmu daripada hadapanmu. Aku akan membuat namamu besar, seperti nama orang besar yang ada di bumi.
[10] Aku akan menentukan suatu tempat bagi umat-Ku Israel dan menempatkan mereka di sana, sehingga mereka mendiami tempat sendiri tanpa diganggu lagi. Mereka tidak akan tertindas lagi oleh orang zalim seperti sebelumnya,
[11] iaitu sejak masa Aku melantik para hakim untuk memimpin umat-Ku Israel. Aku akan memberikan ketenteraman kepadamu daripada semua musuhmu. Selain itu, Tuhan pun menyatakan kepadamu bahawa Tuhan akan mengukuhkan sebuah keluarga bagimu.
[12] Apabila sampai akhir hayatmu, dan engkau dibaringkan bersama nenek moyangmu, Aku akan membangkitkan keturunanmu kelak, anak kandungmu sendiri, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya.
[13] Dialah yang akan membina sebuah bait bagi nama-Ku dan Aku akan mengukuhkan takhta kerajaannya untuk selama-lamanya.
[14] Aku akan menjadi Bapanya dan dia akan menjadi anak-Ku. Jika dia melakukan kesalahan, Aku akan mengajar dia dengan rotan yang digunakan orang dan dengan pukulan yang diberikan anak-anak manusia.
[15] Namun demikian, kasih abadi-Ku tidak akan dijauhkan daripadanya, seperti Kujauhkan daripada Saul, yang telah Kusingkirkan di hadapanmu.
[16] Keluargamu dan kerajaanmu akan kekal selama-lamanya di hadapan-Ku. Takhtamu akan kukuh selama-lamanya.' "
[17] Selaras dengan semua firman dan selaras dengan semua penglihatan ini, demikianlah yang disampaikan Natan kepada Daud.
[18] Kemudian masuklah Raja Daud lantas bersimpuh di hadapan Tuhan dan berkata, "Ya Tuhan Allah, siapakah kononnya aku ini dan siapakah kononnya keluargaku, sehingga Engkau membawa aku sejauh ini?
[19] Bahkan ternyata pula perkara ini perkara biasa di mata-Mu, ya Tuhan Allah. Namun demikian, Engkau telah berfirman pula tentang masa yang masih jauh mengenai keluarga hamba-Mu ini. Inilah perjanjian bagi umat manusia, ya Tuhan Allah.
[20] Entah apa lagi yang dapat disampaikan oleh Daud kepada-Mu, kerana Engkau mengenal hamba-Mu ini, ya Tuhan Allah.
[21] Demi firman-Mu dan atas kehendak-Mu sendirilah Engkau telah melakukan segala hal yang besar ini dan memberitahukannya kepada hamba-Mu ini.
[22] Oleh sebab itu, Engkau Yang Maha Besar, ya Tuhan Allah, kerana tidak ada yang seperti Engkau. Tidak ada Allah selain Engkau, menurut segala sesuatu yang kami dengar dengan telinga kami.
[23] Bangsa manakah di bumi ini seperti umat-Mu Israel, satu-satunya bangsa yang ditebus oleh Allah untuk menjadi umat-Nya? Dia menegakkan nama bagi-Nya dengan melakukan hal-hal yang besar dan takjub, di hadapan umat yang ditebus-Nya dari Mesir, daripada bangsa-bangsa serta tuhan-tuhan mereka.
[24] Engkau telah mengukuhkan umat-Mu Israel bagi diri-Mu sendiri untuk menjadi umat-Mu untuk selama-lamanya dan Engkau, ya Tuhan, menjadi Allah mereka.
[25] Maka sekarang, ya Tuhan Allah, biarlah firman yang Kauucapkan tentang hamba-Mu ini dan tentang keluarganya teguh untuk selama-lamanya. Lakukanlah seperti yang Kaufirmankan itu.
[26] Semoga nama-Mu diagungkan untuk selama-lamanya, dan orang akan menyebut, ' Tuhan alam semesta ialah Allah atas umat Israel,' dan semoga keluarga hamba-Mu Daud kukuh di hadapan-Mu.
[27] Kerana Engkau, ya Tuhan alam semesta, Allah Israel, telah menyingkapkan kepada hamba-Mu ini demikian, 'Aku akan membangunkan suatu keturunan bagimu.' Itulah sebabnya hamba-Mu memberanikan diri untuk menaikkan doa ini di hadapan-Mu.
[28] Sekarang, ya Tuhan Allah, Engkaulah Tuhan dan firman-Mu adalah benar. Engkau telah menjanjikan hal yang baik ini kepada hamba-Mu.
[29] Sekarang, semoga Engkau berkenan memberkati keluarga hamba-Mu ini, supaya tetap ada di hadapan-Mu untuk selama-lamanya, kerana Engkau juga yang telah berfirman, ya Tuhan Allah. Biarlah keluarga hamba-Mu ini diberkati dengan berkat-Mu untuk selama-lamanya."