[1] Ketahuilah betapa kasihnya Bapa kepada kita sehingga kita disebut anak-anak Allah! Dan sememanglah begitu! Sebabnya dunia ini tidak mengenal kita ialah kerana dunia ini tidak mengenal Allah.
[2] Sahabat-sahabat yang kukasihi, sekarang ini kita anak-anak Allah, tetapi belum nyata bagaimana keadaan kita kelak. Tetapi kita tahu bahawa apabila Kristus datang, kita akan menjadi seperti-Nya, kerana kita akan melihat-Nya dalam keadaan-Nya yang sebenar.
[3] Sesiapa yang menaruh harapan ini kepada Kristus akan memelihara dirinya supaya suci, sebagaimana Kristus itu suci.
[4] Sesiapa yang berbuat dosa, dia melakukan keleluasaan kerana dosa itu perbuatan keleluasaan.
[5] Kamu tahu bahawa Kristus dihantar untuk menghapuskan dosa umat manusia; dalam diri-Nya tiada dosa.
[6] Oleh itu, sesiapa yang tetap di dalam Kristus tidak akan berbuat dosa berterusan. Sesiapa yang terus berbuat dosa belum melihat dan mengenal Dia.
[7] Anak-anakku, jangan biarkan sesiapa pun menyesatkanmu. Sesiapa yang melakukan apa yang benar adalah orang yang benar, seperti Kristus.
[8] Orang yang terus berbuat dosa itu berasal daripada Iblis, kerana dari mulanya lagi Iblis telah berbuat dosa. Itulah sebabnya Anak Allah datang untuk membinasakan pekerjaan Iblis.
[9] Sesiapa yang lahir daripada Allah tidak akan berbuat dosa berterusan kerana benih Allah ada dalam dirinya. Oleh sebab dia lahir daripada Allah, dia tidak mungkin berbuat dosa berterusan.
[10] Dengan demikian nyatalah perbezaan antara anak-anak Allah dengan anak-anak Iblis. Orang yang tidak melakukan apa yang benar bukanlah anak Allah, demikian juga orang yang tidak mengasihi saudaranya.
[11] Kamu telah mendengar perkhabaran ini dari mulanya: Kita harus kasih-mengasihi.
[12] Janganlah kita bertindak seperti Kain yang asalnya daripada Iblis dan membunuh adiknya sendiri. Mengapakah dia membunuh adiknya? Semata-mata kerana perbuatannya salah sedangkan perbuatan adiknya benar.
[13] Oleh itu, saudara-saudaraku, janganlah hairan jika kamu dibenci oleh orang di dunia ini.
[14] Kita tahu bahawa kita terus hidup dan tidak akan binasa kerana kita mengasihi saudara-saudara kita. Sesiapa yang tidak mengasihi saudaranya akan tetap dikuasai oleh maut.
[15] Sesiapa yang benci akan saudaranya ialah pembunuh. Kamu tahu bahawa seorang pembunuh tidak mempunyai hidup yang kekal dalam dirinya.
[16] Dengan demikian kita tahu bagaimana cara mengasihi seseorang: Yesus Kristus telah menyerahkan nyawa-Nya untuk kita. Oleh itu kita harus menyerahkan nyawa kita untuk saudara-saudara kita.
[17] Jika seorang yang berharta melihat saudaranya yang miskin memerlukan bantuan tetapi tidak mahu menolongnya, bagaimanakah kasih Allah dapat hidup dalam dirinya?
[18] Anak-anakku, janganlah kasih kita di mulut sahaja. Kita hendaklah kasih-mengasihi melalui perbuatan dan kebenaran yang sejati.
[19] Dengan demikian kita tahu bahawa kita anak-anak Allah yang benar dan hati kita tetap damai di hadirat Allah
[20] sekiranya hati nurani kita menyalahkan kita. Sebabnya kita tahu bahawa Allah lebih besar daripada hati kita dan Allah Maha Mengetahui.
[21] Oleh yang demikian, saudara-saudara yang kukasihi, jika hati nurani kita tidak menyalahkan kita, kita dapat menghadap Allah dengan tetap hati.
[22] Kita menerima apa yang kita minta daripada-Nya kerana kita taat akan perintah-Nya dan melakukan apa yang diredai-Nya.
[23] Perintah-Nya adalah: kita harus percaya akan nama Anak-Nya, Yesus Kristus, dan kasih-mengasihi seperti suruhan Kristus.
[24] Sesiapa yang taat akan perintah-Nya tetap ada di dalam Allah dan Allah ada di dalamnya. Kita tahu bahawa Allah tetap ada di dalam kita kerana Dia telah mengurniakan Roh-Nya kepada kita.